Kami dibesarkan dengan baik oleh Umi dan Abah. Semua serba serbi cukup, tiada apa yang kurang. Cuma kami dijaga oleh bibik kerana Umi dan Abah sibuk bekerja. Mungkin kerana itu saya jadi seorang yang tidak bersyukur, hanya tahu meminta, tapi tidak tahu menghargai. Saya seronok dengan kesenangan yang ada sehingga saya lupa diri, lupa akan jasa jasa ibubapa yang bersusah payah kerja untuk keluarga kami. Takdir Allah, semasa saya Darjah 6 tahun 2004, Umi disahkan menghidap kanser. Waktu itu saya nak amik UPSR. Tapi saya kan jenis yang lupa diri, penyakit yang datang pada Umi sedikitpun tidak terkesan pada saya. Sehinggakan Abah yang memaksa saya, sebagai anak sulung ni supaya ikut menjenguk Umi di hospital. Pada saya, nanti Umi dah baik nanti dia balik kita jumpa jugak. Kalaulah seandainya Allah tarik nyawa Umi masatuu....pasti saya menyesal sampai akhirnya..
Umi tidak pernah putus asa mendoakan saya supaya saya berubah, supaya saya tidak tinggal solat, sedangkan dia tidak tahu sejadah pun saya tak pernah sentuh.. Kalau adapun itu cuma lakonan semata. Umi tidak pernah putus membacakan surah surah Al-Quran di ubun ubun saya dan adik adik pada setiap pagi. Dengan harapan agar anak anaknya menjadi anak yang soleh dan sentiasa berpegang pada Allah. Tapi saya masih lagi keras hati, lupa Allah, lupa yang semua ni hanya pinjaman..
Alhamdulillah Umi sihat dan selamat menjalani beberapa pembedahan dan kimoterapi segala bagai untuk melawan kansernya. Sungguh begitu, saya masih lagi tidak berhati perut kerana asyik memikirkan tentang keseronokan saja. Yelaa, tinggal dekat KL kan, macam macam ada. Tapi dugaan Allah tidak terhenti sampai situ saja, pada tahun 2006 Umi sekali lagi disahkan menghidap kanser..kali ni tahap 4. Dia pergi hospital sendiri, sikit pun dia tak cerita pada kami semua, termasuk Abah. Saya jadi tahu apabila terdengar Umi ceritakan pada Tok Wan tentang penyakitnya. Gelap dunia saya masatu, saya berfikir apakah yang saya dah lakukan untuk Umi semasa masa sihatnya? TIDAK ADA. Maka masa itulah kali pertama saya bersujud di atas sejadah, yang selama ini saya lupakan walaupun sudah dari kecil kita diajarkan sembahyang. Dan dengan kali pertama itulah saya bersungguh sungguh berdoa, agar Umi selamat menjalani pembedahan kali keduanya.
Allah itu Maha Kuasa, sekali lagi Umi selamat menjalani pembedahan membuang kansernya, walaupun kami semua tahu, penyakit kanser mana ada ubat, takkan pernah mati akarnya. Saya dah mula belajar sembahyang semula, kerana pada masa masa kritikal dulu saya memperoleh ketenangan di dalam sujud. Oleh itu saya berpegang pada doa Umi, walau apapun yang kita buat, dimana pun kita, jangan pernah tinggalkan solat. Walaubagaimanapun, sesungguhnya solat saya itu tidak sempurna.. Kerana saya tidak menjadi lebih baik, malahan lebih teruk lagi ada. Sembahyang sembahyang juga, dosa dosa buat juga. Saya menjadi semakin tidak mendengar kata, Umi selalu menangis kerana saya. Saya rapat dengan Abah dari kecil kerana apa yang saya minta semua Abah bagi, sedangkan Umi selalu membangkang apa yang saya inginkan, membazir katanya. Abah mengajar kami hidup dalam kemewahan..
Masa saya di Tingkatan 3, Allah menduga Umi sekali lagi kerana saya sebagai anak sulungnya yang nak PMR ni sakit demam denggi berdarah. Saya dimasukkan ke wad CCU kerana hampir saja virus denggi merebak ke hati dan buah pinggang saya. Umi tak pernah putus doa, dia ikhtiarkan sesuatu yang saya tak pernah jangka, ubat herba yang dia selalu minum untuk mengawal kansernya, diberikan kepada saya sehingga habis ubat herbanya itu. Ubat tu mahal, tapi dia kata anak anak dia lebih berharga dari segala galanya. Alhamdulillah saya selamat tanpa memerlukan apa apa pembedahan. Saya tak kuat macam Umi..
Tingkatan 4 adalah permulaan saya dan keluarga berpindah ke kampung Umi, tujuan Umi membuat permohonan pindah ke kampung sebab nak jaga Tok Wan dan Tok Ki, kerana Umi adalah anak tunggal, jadi adalah tanggungjawab dia untuk berada dekat dengan orangtua nya. Saya apalagi memberontak tak sudah, daripada KL tetiba pindah kampung mana boleh terima. Lagi lagi Abah masih belum ikut pindah ke kampung kerana permohonan pindah Abah masih belum diluluskan. Dugaan Allah itu tidak pernah putus kepada hamba yang Dia sayangi. Keluarga kami diduga lagi dengan masalah masalah dalaman, yang boleh mengkucar kacirkan keluarga kami. Biarpun Umi dah sihat dan dah berkerja, tapi kita semua tahu yang penyakit kansernya masih ada namun digagahkannya juga untuk berubat ke sana ke mari sendirian supaya keluarga kami dijauhkan daripada gangguan dalaman tersebut.
Dugaan yang datang kali ni mematangkan saya, saya tidak lagi manja, pentingkan diri sendiri, malah saya cuba sedaya saya untuk merapatkan kembali silaturrahim antara saya dengan Umi yang dah terlalu renggang disebabkan keegoan saya. Saya juga belajar untuk tidak boros, saya belajar buangkan perangai buruk saya masa dahulu kerana saya tak mahu lagi Umi susah sorang sorang. Alhamdulillah, setiap dugaan itu pasti ada hikmahnya, saya kembali rapat dengan Umi dan sehingga akhir hayatnya, sayalah anak yang paling rapat dengannya. DIALAH KAWAN TERBAIK SAYA.
Dan pada awal tahun 2012 ini, Allah menguji kami ketika Abah diserang penyakit jantung. Jantungnya pernah terhenti beberapa minit,tapi Allah Maha Kuasa, Dia beri lagi Abah peluang kedua. Masa Abah tak sedarkan diri selama empat hari, Umi lah yang banyak menenangkan kami. Saya lihat dia hari hari datang jenguk Abah,berdiri disebelah katil sambil mengusap ubun ubun Abah serta dibacakannya surah surah Al-Quran, setitis airmata pun tidak terlihat waktu itu. Dalam hati saya berkata, Ya Allah, kuatnya wanita ini..melihat suaminya yang sakit terlantar tidak sedarkan diri, namun dia tidak pernah menangis di depan anak anaknya, dia tetap yakin berpegang pada Allah dan juga doanya. Alhamdulillah Abah saya selamat menjalani pembedahan jantung 4 bulan yang lepas, ketika saya sedang ambil ujian BEL, beratnya perjalanan saya waktu itu, Allah saja yang tahu..
Kali ni saya tengah cuti sem 2 bulan, entah kenapa saya yang kuat berjalan terasa berat hati nak tinggalkan rumah. Jadi masa cuti saya habiskan di rumah bersama keluarga. Allah turunkan lagi ujian, dua minggu sebelum raya, x-ray Umi menunjukkan yang paru paru nya berair. Doktor kata kemungkinan besar disebabkan oleh kanser. Saya kata kanser Umi dah lama hilang, sebab Umi saya dah sihat seperti orang lain, kali terakhir kansernya dibuang pada tahun 2006 tu lah.
Tapi kali ni Umi tak nampak sakit pun, cuma dia hanya selalu mengah dan selalu mengadu yang dia susah nak bernafas. Saya teman Umi pergi ke hospital (HSI), tapi doktor suruh Umi balik dan hanya memberi Umi 3 biji pil. Semudah itu air di dalam paru parunya boleh dikeluarkan? Tak berhati perut betul hospital ni. Umi jadi merajuk untuk ke hospital lagi. Dengan tercungap cungapnya, dengan mengahnya nafas dia, Alhamdulillah kami sekeluarga dapat beraya bersama. Alhamdulillah Umi nampak sihat saja, kurang sikit kerisauan saya.
*************************
Saya puas dapat menjaganya selama di hospital dan Alhamdulillah, doktor kata Umi semakin pulih malah x-ray nya menunjukkan result yang baik. Pada malam hari Rabu, Umi kata dia sangat lapar dan teringin sangat nak makan bubur. Mana nak cari bubur jam jam begini? Saya berkeras mencari bubur walaupun Abah marah marah saya sebab Abah suruh saya cari esok pagi saja. Apa yang saya katakan pada Abah, saya tak kisah susah macamana pun saya, asalkan saya dapat gembirakan Umi. Itu janji saya dari dulu lagi. Alhamdulillah Allah memudahkan jalan bagi saya dan Umi dapat makan bubur walaupun hanya sekadar bubur segera.
Pagi pagi lagi pada hari Khamis itu, saya beli 2 bungkus bubur, satu untuk Umi dan satu lagi untuk saya. Sedihnya Umi terpaksa puasa sebab doktor kata nak buat CT scan. Takpelah, biarlah saya tak makan, saya nak tunggu Umi lepas scan lepastu saya nak makan sama sama dengan Umi. Dan pada pagi itu jugalah Umi suruh saya mandikan dia, Alhamdulillah dengan senang hati saya mandikan Umi, keringkan rambutnya, pakaikan Umi tudung, tanpa saya sedari itulah kali pertama dan kali terakhir saya mandikan Umi..
Setelah selesai semua, saya tak tahu kenapa saya rasa sangat letih. Mungkin sebab dah dua hari saya tak dapat baring kot. Saya letakkan kepala saya di katil Umi. Tapi Umi mengangkat sedikit kepala saya dan letakkan dipangkunya sambil mengusap usap kepala saya. Saya hanya tersenyum walaupun hati ini sudah terdetik sesuatu. Kemudian apabila Abah datang ziarah, Umi lah yang paling rancak sekali berbual, bergurau ketawa. Saya seronok melihat Umi semakin sembuh. Bila Abah nak balik, seperti biasa Abah kata petang dia akan datang melawat lagi, tapi Umi kata tak payahlah datang, tunggu saja di rumah.. Bila Abah mula melangkah, Umi panggil Abah semula, "saya minta maaf ya..." itulah kata katanya pada Abah.
Tengahari itu selepas Zohor, bukan main rancak lagi saya berbual dengan Umi kerana sebelum itu ada juga yang datang melawatnya, Umi seronok sangat bila ada yang datang melawat. Tiba tiba sedang Umi berbual dengan saya, dia berasa sesak nafas dan macam nak pitam. Saya ingatkan ia hanyalah komplikasi biasa tapi keadaannya semakin teruk. Saya berlari mendapatkan nurse dan doktor, kemudian saya berlari kepada Umi untuk membacakan selawat di telinganya. Selawat saya tidak pernah putus saat itu, saya rasa cemas sangat. Saya call Abah yang baru saja sampai rumah untuk kembali ke hospital kerana saya takut lihat keadaan Umi begitu. Doktor semua berkumpul di katil Umi dan selepas beberapa ketika, doktor doktor itu semua beransur pergi. Saya lihat Umi tidak lagi bergerak, tapi mesin yang ada di tepinya masih lagi berbunyi menandakan nadinya masih lagi ada. Saya berdiri lagi di tepi katil Umi dan masih tetap membacakan selawat sambil mengusap usap kepalanya yang tidak lagi bergerak, saya buat sama seperti yang Umi selalu buat kepada kami adik beradik.
Abah sampai selang 20 minit selepas itu. Sampai sampai sahaja Abah terus berkata pada Umi,selalu awak ni sakit bawak Quran, kali ni kenapa tak bawak.. kata Abah sambil meletakkan Quran di kepala Umi. Abah terus terusan membebel kepada Umi dan kemudian seorang doktor datang, mengatakan bahawa Umi dah tiada sebenarnya. Abah saya meraung sekuat hati, menangis dan tak henti henti perkataan Allahuakbar keluar dari mulutnya. Saya hanya terdiam, terasa dunia saya menjadi gelap waktu itu, baru saja tadi saya berbual dengan Umi, kenapa doktor kata Umi dah takde? Saya terus memarahi doktor, habis, kenapa mesin ni masih ada denyutan nadi?? Doktor kata itu hanya denyutan nadinya masa jantungnya belum terhenti. Bermakna, selama 20 minit saya berada di sisinya dan mengusap kepalanya, ia hanyalah jasad tanpa roh. Itu Umi saya..
Abah peluk saya yang masih lagi terpaku, saya hanya terdiam tanpa kata kata waktu itu. Kemudian airmata tiba tiba mengalir panas di pipi, mengatakan bahawa ini bukannya mimpi. Saya hanya meminjam kekuatan Abah untuk berdiri dan mulut saya tak henti henti berzikir Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah... semua orang pelik kenapa saya sebut Alhamdulillah. Alhamdulillah penderitaan Umi dah berakhir. Alhamdulillah Umi saya mati syahid, meninggal kerana berjihad melawan penyakit yang menderita. Alhamdulillah Umi pergi ketika saya disisinya. Alhamdulillah Umi pergi pada hari yang dimuliakan Allah iaitu pada Khamis malam Jumaat. Alhamdulillah Umi pergi setelah dia sempat melihat saya berubah menjadi anak yang solehah, seperti mana yang dia inginkan, InsyaAllah..
Saya melihat keadaan dimana nyawa ibu kandung saya dicabut, Umi meninggal di depan mata saya, betapa beratnya dugaan ini namun saya redha, saya bersyukur kerana Allah memberikan saya saat saat terakhir yang paling indah bersama Umi. Abah saya menangis saja, dia terlalu sedih kerana katanya dia yang sakit teruk masa operation jantung, tapi Umi yang pergi dulu.. Saya risaukan adik adik saya yang masih kecil, bagaimana kehidupan mereka nanti, Abah saya juga sakit, insyaAllah mudah mudahan Allah melindunginya. ALLAH SEDANG MENGUJI. Mereka kata saya orang yang terpilih menerima ujian sebegini, saya redha. Saya puas dapat jaga Umi ketika sakitnya, dan Allah memakbulkan doa saya, doa saya untuk membuat jasa kepada Umi dan Abah walaupun sebesar zarah, doa saya untuk menjaga kedua ibubapa saya hingga akhir hayatnya.
Saya pernah terfikir untuk berhenti belajar, untuk tolong Abah menjaga adik adik saya yang masih kecil, tapi Umi seperti tahu yang dirinya akan pergi, awal awal lagi dah nasihatkan saya, walau apa pun berlaku, teruskan belajar dan jangan berhenti mengejar cita cita. Selama ini Umi lah kekuatan saya, apa yang saya lakukan di dunia ni semuanya untuk Umi. Umi lah nyawa saya, kekuatan saya. Tapi sekarang saya kehilangan 'kekuatan' saya.. Saya tak pernah menitiskan airmata di depan anda semua, saya juga jarang bercerita tentang masalah saya. Anda mungkin lihat saya kuat, tidak menangis, tetapi itu cuma sebagai benteng agar anda tidak tahu apa yang saya alami. Saya cuma mahu kawan kawan saya gembira bila bersama dengan saya. Justeru saya ingin memaklumkan pada kawan kawan saya yang saya sayangi semua, anda semua janganlah terkejut kalau kalau saya termenangis di mana mana ya. Kerana saya tidak sekuat dulu, tapi saya akan cuba. Saya cuba demi keluarga saya, demi Umi..
Waktu itu saya tengah cuti sem masa Abah mula mula sakit, saya yang jaga Abah di hospital. Kali ni saya jugalah yang jaga Umi di hospital, juga masa saya tengah cuti sem, dan sehingga kini saya takut untuk cuti sem lagi teheee =')
**jagalah hati ibubapa kita, sebagaimana mereka menjaga kita, kerana jasa mereka tidak akan pernah terbalas. Saya jarang katakan pada Umi yang saya sangat sayangkan Umi, itulah yang amat saya kesalkan sekarang ini. Tapi saya tahu, Umi tahu saya sangat sayangkannya. Kepada kawan kawan yg saya sayangi, gunalah peluang ini sebaik mungkin selagi ibubapa anda masih ada di dunia, kerana bila Allah menarik satu saat itu daripada ibubapa kamu, kekesalan yg akan kamu bawa adalah sepanjang hidupmu.. Ibubapa kita hanya satu, HANYA SEKALI SAJA.
Akak nak Umi tahu yang akak sangat sangat sayangkan Umi. Akak rindu sangat dengan Umi, adik adik semua rindukan Umi. Abah hari hari menangis terkenangkan Umi. Setiap pagi adalah mengerikan apabila mengetahui bahawa ini bukannya mimpi. Tapi akak tahu Umi sekarang berada di tempat yg lebih baik, iaitu di sisiNya. Kita jumpa lagi nanti di syurga, insyaAllah.. Ya Allah, dialah syurgaku, maka tempatkanlah dia di syurgaMu.. Temukan kami nanti di sana.. Aminn...
i miss you so much Umi..
:'(( takziah akak. kuatkan semangat ye. Allah lebih sayangkan arwah umi akak. =(
ReplyDeleteterima kasih dear, insyaAllah :')
Deletetakziah feera, aq harap ko tabah dgn ape yg b'laku skrg nie,,, ko kne kuat demi abah, adik beradik ko. mesti dye sdih klu tgok ko sedih... allah lebih sygkan umi kmu,semoga rohnye d'cucuri rahmat "AMIN" :(
ReplyDeletethaaanksss.. semakin berat ujian seseorang itu, semakin sayang Allah padanya, insyaAllah :')
DeleteTakziah saya ucapkan. I was burst into tears when I read this entry. I'm touched. Masih ada ibu ayah, tapi masih tak tahu nak menghargai mereka. I can't imagine if I were you. I'm not that strong. Untuk awak, bertabahlah. Setiap apa yang berlaku dalam hidup awak ni adalah ujian daripada Allah SWT. Awak kuat. I can see that. Please be strong for your siblings. They need you as their new "Umi" :)
ReplyDeleteterima kasih. insyaAllah saya cuba utk kuat kerana Umi saya adalah seorang yg sangat2 kuat. saya juga pernah melalui zaman2 jahiliah saya tapi Allah masih beri kesempatan buat saya supaya saya berubah di ketika mata Umi saya belum tertutup lagi. Alhamdulillah utk feedback ini, kerana entri ini bertujuan utk mengajak rakan2 yg saya sayangi, menghargai ibubapa kita, insyaAllah. doakan yg terbaik utk saya dan keluarga, saya juga mendoakan rakan2 saya :')
ReplyDelete